♠ Posted by kayrozz at 4:44 PM
Aku terpanggil untuk membuat artikel mengenai ajaran sesat arini. Walaupun agen penyebaran seakan berkurangan apabila Jabatan Agama Islam dan JAKIM menjalankan pemantauan rapat, namun aku rasa sebagai orang Islam aku juga patut memberikan bantuan yang signifikan untuk memastikan gejala negatif dan sumbang akidah ini dapat dibanteras.
Teringat aku sewaktu aku masih berada di sekolah rendah pada tahun 1980, memang terdapat banyak ajaran songsang dan sesat berlaku di negara kita dan salah satu daripadanya ialah Kalta Al-Mahdi. Tentu, ada yang masih ingat tentang serangan Balai Polis di Batu Pahat, Johor ketika itu. Pada 16hb Oktober 1980, sekumpulan orang muda yang berpakaian serba putih telah menyerang balai polis tersebut menyebabkan ramai orang terbunuh, termasuk anggota polis dan ramai anggota kumpulan itu sendiri.
Kalta yang terlibat dipimpin oleh seorang bekas pendatang dari Kampuchea bernama Muhammad Ariffin atau Muhammad Nasir Ismail yang mengajar ajaran sesat. Dia mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi.
Ada orang percaya dia mengamalkan ilmu sihir dan bila air jampinya diminum oleh orang biasa orang itu akan mematuhi perintahnya dan orang yang berniat jahat kepadanya akan mendapat bencana.
Tetapi ketika di Pahang air jampinya diminum oleh kadi tempatan tetapi air itu tidak memberikesan apa-apa kepadanya. Di antara ajarannya yang menyalahi ajaran Islam ialah :-
- Pengikutnya dibolehkan mendirikan solat Jumaat di rumah, bahkan solat waktu secara berjemaah tidak diperlukan lagi.
- Dalam kalimah syahadah nama Muhammad digantikan dengan Musa Kalimullah.
- Para pengikut Kalta disuruh membaca Fatihah 40 kali sehari kepada Imam Mahdi iaitu imam kalta itu sendiri, kepada khalifahnya bernama Nur Zaman dan kepada keluarga mereka.
- Tidak perlu baca Fatihah dalam solat subuh kerana digantikan dengan Doa Qunut.
- Lafaz zikir anggota kalta ialah "La Ilaha Illallah, Imam Mahdi waliyullah"
Oleh kerana ajarannya tidak laku di Batu Pahat, Johor, Imam kalta itu pun mengeluarkan fatwa bahawa siapa yang enggan menyertai kaltanya adalah sesat dan wajib ditentang. Pada hari Khamis, 16hb Oktober, 1980 mereka menyerang Balai Polis Batu Pahat dengan bersenjatakan pedang, parang panjang dan lain-lain senjata tajam.
Tujuan serangan adalah untuk merampas senjata api di balai itu untuk digunakan nanti dalam tindakan lain berikutnya. Tetapi kebanyakan anggota kalta itu terbunuh, termasuklah Imamnya sendiri. Beberapa orang anggota polis turut terbunuh dan cedera parah.
Pengikut kalta telah memberi jaminan oleh imam mereka, jika mereka mati dalam serangan itu maka mereka akan gugur sebagai Syuhada' dan akan masuk syurga.
Kesemua pengikut kalta Al Mahdi ini tentu jahil tentang ajaran agama mereka sendiri, seperti lain-lain pengikut ajaran sesat di sana sini. Dengan mengikuti ajaran imam yang sesat mereka pun tersesat bersamanya.
Terdapat banyak lagi kalta agama ganjil atau sesat di Malaysia dan seluruh dunia, termasuklah beberapa tarekat yang pada mulanya benar, tetapi telah dipesongkan oleh guru dan pengikutnya sendiri.
Sewaktu dulu antara kalta-kalta yang telah berjaya dihapuskan di Malaysia ini termasuklah :
- Ajaran Taslim
- Ajaran Subud
- Ilmu Bungkus
- Ajaran Crypto
- Nasrul Hak
Manakala amalan tarekat yang telah dipesongkan termasuklah Tarekat Noor Zaman, Naksabandiah, Khaldiah, Mufradiah dan sebagainya.
Justeru, sebagai umat yang mengaku ummah Nabi Muhammad saw ini hendaklah kita berpegang teguh kepada tauhid dan memperkuatkan akidah diri masing-masing. Sebenarnya, bukan disebabkan kebodohan kita yang menyebabkan terpesong, tetapi disebabkan amalan harian yang tidak diperbuat seperti menurut perintahNYA.
0 comments:
Post a Comment