SHAH ALAM: Kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan penganjuran Konsert MTV Word Stage yang dijadualkan berlangsung di i-City, Seksyen 7, di sini, 24 Julai ini walaupun dibantah PAS.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia selaras usaha menjadikan Shah Alam sebagai tumpuan antarabangsa selain satu pengisian dalam aktiviti golongan muda di negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, penganjur konsert perlu mematuhi beberapa peraturan yang sudah ditetapkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Ini untuk merayakan Shah Alam. Namun, penyanyi perlu mematuhi adab pakaian selain penganjurannya tidak boleh berlangsung sehingga melebihi jam 12 tengah malam termasuk bebas daripada dadah, alkohol dan rokok,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, semalam.
PAS Selangor sebelum ini membantah tindakan kerajaan PKR Selangor yang membenarkan penganjuran MTV World Stage di i-City pada 24 Julai ini.
Antara pemimpin PAS yang membantah penganjuran konsert terbabit ialah Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Keputusan itu juga dibuat sebulat suara dalam satu mesyuarat PAS negeri baru-baru ini kerana mendakwa kawasan i-City tidak sesuai diadakan aktiviti hiburan termasuk status Shah Alam sebagai bandar raya Islam contoh.
Satu petisyen untuk mengumpul tandatangan penduduk setempat turut dibuat sebagai tanda sokongan membantah penganjuran konsert terbabit.
MTV sebelum ini mengesahkan kehadiran kumpulan rock antarabangsa, 30 Seconds To Mars yang akan beraksi bersama kumpulan rock tempatan, Pop Shuvit.
Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri sudah memberi kelulusan penganjuran konsert terbabit awal tahun lalu kerana berpendapat i-City adalah pusat komersial dan kawasan zon antarabangsa.
Sementara itu, Abdul Khalid, berkata tiga kampung di negeri ini dipilih untuk dijadikan projek perintis pilihan raya bagi memilih ketua kampung.
Beliau berkata, pilihan raya itu akan dipantau pejabat daerah bagi memastikan ia berjalan lancar.
Ditanya mengenai kos pilihan raya itu nanti, beliau berkata, perkara itu tidak perlu ditimbulkan kerana rakyat perlu diberi peluang memilih ketua mereka sendiri.
UMNO Selangor turut menyelar tindakan kerajaan negeri kerana RM87.6 juta yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya ketua kampung di negeri ini dianggap pembaziran wang rakyat.
Sumber [beritaharian]